Aqsa2Gaza

Aqsa2Gaza

Monday, January 26, 2015

MyCARE bersama sasarkan USD1Billion projek Membangun Semula Gaza

Tahniah kepada para penyumbang! MyCARE menyalurkan wang sumbangan anda berjumlah RM1 juta kepada projek pembangunan semula Gaza, '1 Billion Dollar Donation Campaign to Rebuild Gaza'. Malaysia mensasarkan RM36 juta bagi projek ini, ayuh kita bersama-sama membantu! [Ph]






 Pada akhir 2014, Aqsa Syarif telah bersma-sama MySET melancarkan projek Porta-Cabin bagi menyediakan rumah-rumah sementara untuk penduduk-penduduk Gaza yang sangat memerlukan tempat tinggal selepas serangan Israel kepada penduduk Gaza pada Ramadhan yang lalu.

 

Aqsa Syarif Teruskan Melonjak Bantu Palestin bersama MyCARE

Alhamdulillah, perkembangan semasa yang semakin meruncaing di dalam isu-isu kemanusiaan di dunia telah mendorong Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) memperluaskan skop bantuan kemanusiaan dengan lebih meluas dan berdaya maju.

Humanitarian Care Malaysia Berhad (ringkasnya MyCARE) telah ditubuhkan dan Aqsa Syarif kini adalah salah sebuah agensi yang dinaungi oleh MyCARE. Agansi-agensi lain yang sebaris dengan Aqsa Syarif ialah i4Syria, Salam Iraq, PACE, R2R dan Nusantara Care (NICE).

Orang ramai diundang untuk terus menyokong dan mendokong Aqsa Syarif serta MyCARE. Semoga Allah mengurniakan yang terbaik kepada MyCARE dan semua aktivis dan pendokong-pendokong dari seluruh dunia.


Saturday, May 10, 2014

Fakulti Kejuruteraan Awam UTM Beri Peluang Para Pelajar-pelajarnya Pendedahan Kemahiran Generik


Sepanjang dua hari pada 10 dan 11 Mei 2014 baru-baru ini, para pelajar tahun 2 hingga 4 (akhir) Fakulti Kejuruteraan Awam UTM telah diberi pelbagai pendedahan mengenai kemahiran generik dan insaniah. Program dua hari suntuk itu dianjurkan pihak fakulti agar para graduan fakulti ini memiliki kemahiran insaniah disamping kemahiran dan ilmu pengetahuan di dalam bidang kejuruteraan awam.





Di antara ceramah-ceramah yang disampaikan oleh para penceramah jemputan ialah berkaitan dengan kemahiran-kemahiran tambahan yang diperlukan semua pelajar, contohnya kemahiran menulis, kemahiran bercakap, pemikiran kreatif, dan sikap kesukarelaan dan kemanusiaan terhadap masyarakat yang kurang bernasib baik.


2 orang penceramah dari Aqsa Syarif turut diundang bagi berkongsi pengalaman-pengalaman masing-masing. Prof Dr Abdul Rahim membentangkan tajuk isu Palestin dan sejarahnya manakala Prof Madya Dr Mohd Zin bercakap mengenai Volunteerism (kesukarelaan) dan Humanitarian Effort. 

En AbdalRahim Shehab dari Palestin turut memberikan penyampaian ringkas di majlis tersebut.


Ceramah Dr Mohd Zin memberi penekanan akan peri-pentingnya mahasiswa memberi ruang untuk dirinya melibatkan diri memberi sumbangan kepada sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan sama ada disebebkan mereka susah, kurang upaya, dalam kesimpatan mahupun kerana ditimpa bencana. Pengalaman Aqsa Syarif di dalam misi-msii kemanusiaan di Palestin dan uasaha-usaha menyalurkan bantuan dari rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin yang sedang ditindas dan dinafikan hak mereka telah mendorong para pelajar mendaftar sebagai sukarelawan Aqsa Syarif apabila ditawarkan.



Seramai 64 orang pelajar-pelajar tahun 3 dan seramai 48 pelajar tahun 4 (akhir) telah dengan rela memohon untuk menyertai sukarelawan Aqsa Syarif. 

Di akhir seminar, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Prof Dr Shahrin telah menyampaikan sumbangan yang dikutip sepanjang dua hari program tersebut.






Persidangan “ANNUAL INTERNATIONAL FORUM FOR JERUSALEM AND PALESTINE” dan mesyuarat Asia Pasific Community for Palestin (ASPAC)


AQSA SYARIF DIBERI KEPERCAYAAN ANJUR PERSIDANGAN ANTARABANGSA PALESTIN

















International Coalition for Jerusalem and Palestine (I’tilaf) yang beribu pejabat Istanbul dan Asia Pasific Community for Palestin (ASPAC) yang beribu pejabat di Jakarta telah memberi kepercayaan kepada Aqsa Syarif Berhad untuk menganjurkan persidangan tahunan mereka di Malaysia dari 2 hingga 4 Mei ini. Kedua-dua pertubuhan tersebut merupakan gabungan puluhan pertubuhan cakna Palestin dari seluruh dunia. Persidangan “ANNUAL INTERNATIONAL FORUM FOR JERUSALEM AND PALESTINE” akan diadakan di Hotel Bangi Putrajaya, Bangi dan akan dihadiri oleh 200 perwakilan pelbagai NGO dari lebih 20 negara. Ia merupakan medan perkongsian pengalaman, pertukaran maklumat dan mengatur langkah bersama dan tersusun dalam membantu menangani krisis kemanusiaan di Palestin serta membebaskan Masjidil Aqsa.
Persidangan ini juga akan dihadiri tokoh-tokoh aktivis Palestin serta tokoh gerakan Islam yang sentiasa menyokong perjuangan membebaskan bumi suci Masjidil Aqsa. Diantara tokoh yang akan hadir ialah :
1. Usama Hamdan ( Ketua Perhubungan Antarabangsa HAMAS ),
2. Mr. Solah Abu MAqsoud ( Menteri Penerangan Mesir dibawah pentadbiran kerajaan Presiden Mursi ),
3. Sheikh Muhd Riadh as Shaqfeh ( Muraqib Am @ Ketua Umum Ikhwanul Muslimun Syria )
4. Dr. Khalid Hendawi ( pembantu khas Sheikh Yusof Qardawi dan antara pengasas Persatuan Ulama’ Sedunia )

Dalam menganjurkan persidangan ini Aqsa Syarif mendapat kerjasama rapat dari Palestine Cultural Organization of Malaysia (PCOM) dan Al-Quds Foundation Malaysia (QFM). Semasa persidangan berjalan, beberapa ceramah umum juga telah diatur untuk memberikan perkongsian dan perkembangan terbaru kepada masyarakat Malaysia berhubung perkembangan di Palestin, Mesir dan Syria. Diantara ceramah umum yang telah diatur ialah di Hotel Bangi Purtajaya pada Ahad 4 Mei 2014 dan di Universiti Islam Antarabangsa pada 6 Mei 2014. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web dan facebook Aqsa Syarif.

Ar. Syed Mohd Radhi
Pengarah Program
Multaqa' ASPAC & I'tilaf 2014


2 Mei, Bangi - Ketibaan para peserta lebih dari 10 buah negara memeriahkan Hotel Bangi-Putrajaya dengan sesi pendaftaran yang bermula pada pukul 9 pagi.

Hari pertama dimulakan dengan program ASPAC di Dewan Melati sehingga 7 petang. Program diteruskan dengan sidang media al-I'tilaf dan perasmian i'tilaf. ASPAC kali ini adalah yang kali ketiga dan Malaysia menjadi tuan rumah pertama kali ini. Ikuti laporan penuh kemudian. [Ph] — at Hotel Bangi-Putrajaya.


4 Mei 2014 (Hari ini) Ceramah Khas akan di adakan bersempena mesyuarat Asia Pasific Community for Palestin (ASPAC) dan Persidangan “ANNUAL INTERNATIONAL FORUM FOR JERUSALEM AND PALESTINE” di Hotel Bangi Putrajaya (Equatorial). Orang ramai dijemput hadir dan menyaksikan pamiran terkini Palestin di bawa khas dari Lubnan, Palestin, Indonesia, Algeria dan Malaysia. Jualan produk-produk Palestin juga boleh diperolehi di sini.


Berita | RM1.57 juta Dalam Masa Satu Jam.

4 Mei, Bangi - Benar, sejumlah USD482,000 atau hampir RM 1,570,000 dikumpulkan dalam masa sejam hasil sumbangan para peserta.

Majlis penutup "Annual International Forum for Jerusalem and Palestine (Al-I'tilaf)" berjaya mengumpul sejumlah USD 482 ribu (RM 1.57juta) dalam masa tidak sampai satu jam apabila wakil-wakil NGO dari seluruh dunia diminta oleh Syeikh Saud Abu Mahfouz (gambar tengah) memberikan komitmen mereka untuk membantu Palestin. Sheikh Saud adalah Naib Pengerusi International Coalition for Jerusalem and Palestine (I'tilaf).

Persidangan ini dihadiri oleh lebih 250 perwakilan NGO dari seluruh dunia telah diadakan dari 2 hingga 4 Mei 2014. Ia merupakan medan perkongsian pengalaman, pertukaran maklumat dan mengatur langkah bersama dan tersusun dalam membantu menangani krisis kemanusiaan di Palestin serta membebaskan Masjidil Aqsa di peringkat dunia.

Aqsa Syarif Berhad, sebuah agensi kemanusiaan dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia telah diberi kepercayaan sebagai tuan rumah persidangan antarabangsa ini. Aqsa Syarif telah memberi komitmen untuk menyampaikan sejumlah USD50,000 kepada Palestin hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia, tahniah kepada anda semua. Anda adalah penyumbang kepada perjuangan hak kemanusiaan ini, seterusnya perjuangan membebaskan Palestin.

Pengarah,
Multaqa 'Itilaf & ASPAC 2014

***

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Quran Surah Al-Baqarah, ayat 271. [Ph] 


Saturday, December 28, 2013

5 Tahun Berlalu Ma'arakat Furqan (Operation Cast Lead) - Gaza Terus Di Kesampingkan, Namun Hamas Terus Di 'Centre Stage'.

(27 Disember | Memperingati Ulangtahun Maarakat Furqan)


Pada 27 Disember 2008, Israel melancarkan Operation Cast Lead, operasi ketenteraan selama 22 hari yang disifatkan antara serangan paling kejam dan ganas ke atas Gaza dan rakyat Palestin.

Serangan Cast Lead sebenarnya adalah siri-siri perancangan dan keganasan zionis Israel semenjak kejayaannya buat pertama kalinya mejadikan bumi ambiya' Palestin diambil kuasa menjadi negara Israel iaitu pada 15 Mei 1948. Lihat di SINI


Selepas Israel tercabar dengan kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Palestin 2006 dan HAMAS diberi kuasa oleh rakyat Palestin untuk memerintah rakyatnya sendiri, Israel terasa tergugat dan berusaha seupayanya untuk mengagalkan kuasa rakyat Palestin tersebut termasuk berusaha untuk memecahbelahkan Palestin melalui batu api yang dinyalakan melalui penyokong Fatah agar mencabar kejayaan HAMAS sebaik sahaka HAMAS berusaha membantuk kerajaan sehingga berlaku pertempuran kecil Hamas-Fatah sehingga akhirnya Hamas mengambil langkah bijak membiarkan Fatah mentadbir Tebing Barat dan Hamas mentadbir Gaza.

Kedengkian zionis Israel dan merasa tergugat dengan penegasan Hamas tidak mengiktiraf penjajagan zionis-Israel terhadap bumi Palestin, Israel terus mengancam untuk mengagalkan pemerintahan Hamas dan memusnahkan harapan rakyat Palestin. 

Sebaik sahaja Hamas mentadbir politik dan pentadbiran Semenanjung Gaza pada tahun 2007, Israel dan kuncu-kuncunya terus membuat sekatan dan kepungan terhadap Gaza melalui sekatan fizikal di sempadan dan menghalang segala bentuk keperluan penduduk Gaza dibawa masuk melalui sempadan Israel sehingga rakyat Gaza mengalami krisis makanan, perubatan, pendidikan dan ekonomi. Penduduk  Gaza dihukum sehingga menjadi penjara terbuka. Tidak sekadar itu, Gaza di pantau dengan 'Drone' (jet berkamera dan bersenjata tanpa pemandu), belon berkamera dan menara-menara peninjau sepanjang sempadan. Serangan demi serangan roket dan penembak tentera Israel juga sering mencabuli penduduk dan kesucian Gaza.

Dalam masa yang singkat, Kerajaan Hamas sedar bahawa kebiadaban zionis tidak boleh dibiarkan dan Hamas memulai penubuhan cawangan tentera bergelar Brigade Al-Qassam. Gerakan latihan dan pembinaan kekuatan persenjataan dilakukan bagi menyediakan kekuatan persenjataan bagi menghadapi sebarang serangan zionis biadap. Sehingga pembangunan roket buatan tangan berjaya ditingkatkan yang bertujuan agar Israel tidak sewenang-wenangnya meluncurkan roket-roket ke Gaza.


Kronologi sebelum serangan

Beberapa ketika selepas pemerintahan Hamas di Gaza, beberapa serangan Israel di balas oleh Brigade Al-Qassam dengan peluncuran roket-roket ke kawasan penempatan Palestin Yang Diduduki israel.

Pada bulan Jun 2008, satu perjanjian gencatan senjata diadakan antara Israel dan HAMAS. Namun demikian, gencatan senjata ini berakhir pada bulan November 2008, bilamana tentera Israel menyerang Gaza dan membunuh 6 ahli HAMAS. Ini merupakan serangan pertama dalam siri-siri serangan yang akhirnya menjadi operasi serangan besar-besaran zionis Israel ke atas Gaza, Operation Cast Lead.

Selain itu, Israel juga menyekat kemasukan makanan, minyak dan ubat-ubatan ke Gaza untuk menghalang serangan balas oleh HAMAS.

Hakikatnya, Israel sebenarnya sudah lama merancang operasi ini. Menurut Barak Ravid, wartawan Haaretz, sebuah akhbar Israel, Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Ehud Barak telah mengarahkan persiapan untuk Operation Cast Lead sejak lebih 6 bulan sebelum itu, hatta sewaktu rundingan diadakan antara Israel dan HAMAS untuk gencatan senjata. (2)

Serangan ini tidak lain tidak bukan merupakan sebahagian usaha rejim Zionis untuk menghalau rakyat Palestin dari Palestin dan menggantikan Palestin dengan negara haram Israel, walaupun mereka cuba mengaburi mata dunia dengan mengatakan mereka hanya menyerang HAMAS yang kononnya merupakan organisasi pengganas.

Ur Shlonsky, seorang professor linguistik di Universiti Geneva, Switzerland menyebutkan bahawa objektif Israel adalah untuk "menyerang masyarakat awam dan memastikan kemusnahan maksima infrastruktur awam. Kehidupan seharian rakyat Palestin mesti ditekan sehingga mereka tidak lagi mampu bertahan; mereka patut dikurung, dihalang dari melaksanakan aktiviti harian, bekerja, bersekolah dan mendapatkan bantuan kesihatan dari hospital. Ini akan menggalakkan perpindahan keluar dari Palestin dan melemahkan semangat mereka untuk menentang serangan-serangan Israel yang akan datang." (3)

Operasi ini dijalankan selama 22 hari sehingga 3 Januari 2009, dengan pelacaran jet pejuang F-16, helikopter Apache, dan unmanned drones yang menyerang lebih 100 tempat di Gaza.



Ironinya, sama ada kebetulan ataupun tidak, serangan pertama Israel (4 November 2008) berlaku pada hari pilihanraya presiden di Amerika Syarikat... Dan ia berakhir 2 hari sebelum Barack Obama dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat secara rasmi.

Pada September 2009, setelah didesak masyarakat sivil antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membentangkan 'Laporan Goldstone' yang memperincikan sekurang-kurangnya 36 jenayah perang yang dilakukan oleh Israel dalam operasi tersebut, termasuk pembedilan rumah-rumah masyarakat awam seperti keluarga Samouni dan Al-Daya dan penggunaan fosforus di kawasan penempatan.

Seorang komander Israel dilaporkan berkata pada askar-askarnya, "Saya mahukan keganasan- jika ada seorang yang mencurigakan di tingkat atas sebuah rumah, kita akan membedilnya. Jika kita ada syak mengenai mana-mana rumah, kita akan runtuhkan rumah tersebut. Kita tidak akan teragak-teragak, tidak akan berfikir panjang, biarlah kesilapan itu mengambil nyawa mereka, bukan nyawa kita." (4)

Namun demikian, laporan itu tidak sedikit pun mengubah pendirian kuasa-kuasa besar dunia. Israel tidak pun dihukum atas jenayah-jenayah perang yang mereka lakukan dalam operasi ini, mahupun operasi-operasi sebelumnya atau selepasnya, seperti 'Operation Pillar of Cloud' baru-baru ini.

Nyata, selagi mana kita tidak bersungguh-sungguh melawan rejim kejam ini, kekejaman Israel akan berterusan, operasi demi operasi!




Kesan Serangan

Lebih 1, 400 orang awam Palestin terbunuh, termasuk lebih 300 kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun. Lebih 5,000 rakyat Palestin cedera, 3,540 rumah runtuh dan sekitar 2,870 lagi rumah rosak akibat serangan Israel ini.

18 sekolah, 268 pusat perniagaan, 324 kilang dan bengkel rosak dan serangan ke atas bekalan elektrik Gaza mengakibatkan kerosakan berjumlah lebih $10 juta. (1)



Sumber:

(1) Fact Sheet: Operation Cast Lead. Institute for Middle East Understanding. 4 Januari 2012.http://imeu.net/news/article0021968.shtml

(2) Barak Ravid, "Operation "Cast Lead": Israeli Air Force strike followed months of planning", Haaretz, 28 Disember 2008. http://www.globalresearch.ca/operation-cast-lead-israeli-air-force-strike-followed-months-of-planning/11521

(3) Ghali Hassan, "The World's Largest Prison", Global Research, 2005. http://www.globalresearch.ca/gaza-the-world-s-largest-prison/829

(4) Amos Harel, "Testimonies on IDF misconduct in Gaza keep rolling in", Haaretz, 22 Mac 2009.http://www.haaretz.com/print-edition/news/testimonies-on-idf-misconduct-in-gaza-keep-rolling-in-1.272610

Sumber asas:  Israa Institution