(Di petik dari Utusan On-line 14 Sept 2012)
Rencana dan gambar SITI AINIZA KAMSARI
Tetapi seperkara yang anda perlu tahu perkataan atau nama Gaza itu sendiri dikatakan berasal dari bahasa Hebrew, bahasa Yahudi kuno - iaitu Azaz yang bermakna kuat.
Ada juga yang mengatakan Gaza berasal dari perkataan Mesir purba iaitu Ghazzat atau Bandar Anugerah.
Manakala bangsa Arab pula mendakwa perkataan Gaza itu merujuk kepada Ghazzat Hashim, iaitu penghormatan kepada keturunan nenek moyang Nabi Muhammad SAW yang dipercayai kubur mereka terdapat di Bandar Gaza. Bukan sekadar sukar mempercayai bahawa nama Gaza itu ada kaitan dengan bahasa Yahudi, namun menjejakkan kaki ke bumi Gaza baru-baru ini juga boleh diibaratkan seperti bermimpi. Sebaik melepasi pintu sempadan Mesir-Rafah dan keluar dari Kompleks Kastam dan Imigresen Palestin, saya disambut oleh satu pemandangan objek ngeri yang membuatkan jantung bagai tersentak dan perut menjadi kecut.
Realiti Gaza yang sebelum ini hanya diikuti melalui media kini terbentang di depan mata.
Dihalang pagar kawat besi, kelihatan sebuah bangunan dua tingkat yang tinggal terbiar dengan tiang-tiang dan dindingnya dipenuhi kesan-kesan tembakan hingga meninggalkan lubang kecil dan besar di sana-sini.
Ia lambang kesengsaraan Gaza. Bukti kerakusan dan keganasan tentera rejim Israel terhadap penduduknya. Bangunan usang itu kini seolah-olah menjadi tugu yang cukup simbolik bagi menyambut kehadiran tetamu yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza.
Dari Rafah yang terletak di sempadan Mesir menuju ke Bandar Gaza yang jaraknya 30 kilometer dengan kereta pasti menyebabkan hati dipagut rasa sayu. Kesan kekejaman zionis terhadap satu-satunya wilayah yang diperintah sendiri oleh rakyat Palestin jelas kelihatan di sana sini!
Debu-debu Gaza yang berterbangan sepanjang perjalanan bukan sahaja mengaburkan pandangan, namun turut menyukarkan lagi sistem pernafasan.
Ia menambahkan lagi suasana suram pada apa sahaja yang kelihatan pada pandangan mata. Baik struktur bangunan, tumbuhan malah apa juga. Semuanya kelabu kekuningan tebal disalut debu.
Ia seperti debu tebal yang menyaluti setiap ranting dan helai daun pokok-pokok zaitun yang ladangnya merupakan pemandangan biasa di Rafah.
Tambahan pula Gaza kini sedang berada di musim panas iaitu dari bulan Julai hingga Ogos. Suhunya boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius. Namun cuaca yang panas itu tidak menghalang 40 anggota sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aqsasyarif Malaysia untuk misi bantuan kemanusiaan di Gaza sempena Ramadan 1433 Hijrah yang lalu.
Dikenali sebagai Aqsa2Syarif8, misi itu diketuai aktivis kemanusiaan terkenal, iaitu bekas Pengerusi Aqsasyarif, Profesor Madya Hasanuddin Mohd. Yunus.
Sebagaimana yang diketahui umum beliau sendiri pernah mengalami pengalaman yang cukup pahit apabila diseksa oleh tentera Israel ketika mengikuti misi Flotila Kebebasan melalui jalan laut.
Ini apabila kapal Mavi Marmara yang dinaiki, yang turut mengangkut pelbagai jenis bantuan untuk penduduk Gaza diserang oleh tentera komando laut elit Israel. Walaupun pernah berhadapan dengan pengalaman getir melalui misi Flotila, misi ini adalah lebih berat berbanding misi-misi Aqsasyarif sebelum ini yang telah memasuki Gaza sebanyak tujuh kali.
Misi kali ini membawa jumlah bantuan yang lebih besar, iaitu bernilai RM2.5 juta. Sebelum ini sebanyak RM4 juta telah disalurkan dan ini menjadikan keseluruhan RM6.5 juta telah diserahkan kepada penduduk Gaza yang dikumpulkan oleh Aqsasyarif. Kedatangan ke Gaza kali ini pula bagi menyempurnakan agihan bantuan daripada rakyat Malaysia bagi membolehkan penduduk Gaza menyambut Aidilfitri lebih meriah sebagaimana umat Islam yang lain.
Untuk tujuan misi seperti itu, anggotanya sudah bersedia fizikal dan mental untuk menghadapi apa juga kekurangan dan kepayahan sepanjang berada di Gaza. Sekalipun makan tidak kenyang atau tidur tidak lena dengan suasana pasca perang di Gaza, tetapi kehadiran anggota misi ini diketahui penduduk Gaza, lalu tanpa disangka kami dilayan umpama tetamu kerajaan Palestin sejak hari pertama lagi.
Hilang segala keletihan berpuasa selama hampir 16 jam dan perjalanan jauh untuk sampai ke Gaza.
Ketibaan anggota rombongan disambut dengan penuh persaudaraan dan diraikan pada majlis berbuka puasa anjuran Timbalan Speaker Parlimen Palestin, Dr. Ahmad Bahar dan para pegawai kerajaan yang lain di bangunan Parlimen mereka.
Bagi saya, kesanggupan anda semua untuk meninggalkan tanah air dalam jarak yang sangat jauh ini, lebih-lebih lagi sudi untuk menjalani ibadat puasa dalam suasana yang pasti tidak sama dan tidak selesa.
Malah yang lebih mengharukan kami, anda mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga tercinta semata-mata untuk menjayakan misi ini di sini dan semua ini amat kami hargai. Saya sangat terharu atas pengorbanan anda semua," kata Dr. Ahmad.
Di salin dari: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120914/re_09/Kekejaman-zionis-jadi-tugu-Gaza
No comments:
Post a Comment