Rencana dan gambar SITI AINIZA KAMSARI
"Syahidlah kita! Syahidlah kita!" keluh jurugambar sambilan TV3, Roslan Zainal Abidin yang turut sama membuat liputan misi Aqsasyarif di Gaza baru-baru ini.
Manakan tidak, sudahlah tekak kering kerana berpuasa, bertambah kering apabila mengenangkan Beit Hanoun, yang merupakan sebuah lagi kawasan 'panas' yang bila-bila masa sahaja boleh disergah oleh tentera Zionis Israel.
Walaupun Beit Lahiye berada lebih hampir dengan sempadan Israel, tetapi Beit Hanoun merupakan jalan darat utama dan pertama bagi pihak Israel menceroboh masuk ke Gaza.
Iaitu terletak kira-kira enam kilometer dari Sderot, sebuah pekan terdekat di Israel.
Dari aspek sejarah Beit Hanoun mengambil sempena nama seorang raja yang pernah memerintah Palestin, iaitu Hanoun yang berjaya mengalah dan mengusir keluar kaum Syria pada abad kelapan Sebelum Masihi.
Pahlawan Islam terkenal, Salahuddin Al Ayyubi pula berjaya mengalahkan tentera Salib di medan tempur Bukit Umm Nasser, di bahagian barat Beit Hanoun. Sehingga kini Masjid Umm Al Nasser (Masjid Ibu Kepada Segala Kemenangan) yang dibina sempena kemenangan itu masih terdapat di Beit Hanoun.
Namun dunia sama sekali tidak akan melupakan kekejaman Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Beit Hanoun pada November 2006.
Seramai 19 orang mati dan 40 lagi cedera apabila Beit Hanoun diceroboh dan mangsa diserang atas alasan sebagai membalas tembakan roket Hamas yang menghala ke Israel.
Sebulan selepas itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melantik Paderi Anglican terkenal, Archbishop Desmond Tutu ke Beit Hanoun bagi menyiasat kejadian ini.
Namun Israel langsung tidak memberikan kerjasama dengan tidak membenarkan Tutu memasuki Gaza melalui Tel Aviv.
Sehinggalah pada tahun 2008, baharulah Israel membenarkan Tutu masuk untuk ke Bein Hanoun.
Maka ini memberikan jawapan mengapa sehingga hari ini Tutu, adalah antara aktivis terkenal dunia yang lantang dan kuat menentang penjajahan Israel.
Salah seorang anggota Misi yang juga merupakan Pegawai Operasi Aqsasyarif Johor, Rofazlin Jusoh berkata pengalaman berada di Beit Hanoun tidak akan beliau lupakan terutama apabila mengingatkan kata-kata yang terdapat pada sebuah pintu gerbang dengan membawakan mesej yang cukup bermakna dan cukup jelas.
"Pintu gerbang tersebut memberitahu kita bahawa Beit Hanoun merupakan sempadan yang memisahkan antara negara haram, Israel dengan negara halal, Palestin!
"Sememangnya ia satu kenyataan dan kebenaran yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun dan negara haram tidak sepatutnya wujud di muka bumi ini" katanya.
Akhirnya anggota rombongan sampai di penghujung jalan yang terletak hanya 500 meter sahaja dari Israel.
Pada pandangan mata, lokasi tersebut tidak ada apa yang istimewanya. Tidak ada sebarang batu tanda atau papan tanda, kecuali dijadikan tempat longgokan dan pembuangan sampah yang besar oleh penduduk Gaza.
Beberapa ekor anjing dan keldai liar kelihatan berkeliaran dan menguis sampah di situ.
Benar bukan satu pemandangan yang menarik untuk dinikmati.
"Ia sebagai tanda hanya sampah sahaja yang layak untuk diberi kepada Israel," kata Rofazlin.
Jika berani ke hadapan maka anda bersedia untuk berhadapan dengan anggota tentera Israel yang berjaga dan berkawal di sebuah pintu sempadan Israel-Beit Hanoun.
Tetapi di pintu sempadan itulah, lazimnya menjadi lokasi penting untuk membawa masuk mana-mana penduduk Gaza yang ditahan oleh Israel. Di pintu masuk itulah juga tahanan Palestin dibebaskan.
Dapat dilihat dengan jelas struktur bagai ular putih yang melingkar iaitu binaan tembok tinggi bercat putih yang panjang melingkari bagi memisahkan antara Israel dan Gaza.
Tetapi jika anda menghala pandangan ke ruang udara Israel pula, terdapat belon-belon bersaiz besar yang di dalamnya terdapat kamera canggih yang didakwa oleh Israel untuk tujuan keselamatan.
Sebenarnya ia untuk memerhati dan mengawasi setiap gerak geri penduduk Gaza yang dikatakan dapat menangkap imej dan gambar sehingga ke selatan Gaza.
Ini termasuklah pergerakan anggota Misi Aqsa2Syarif8 yang sedang berada di sempadan Israel!
"Saya juga difahamkan masih terdapat penduduk jati Palestin yang masih menetap di Ashqelon, berdekatan dengan sempadan ini yang kebanyakan mereka sebelum ini merupakan para petani yang mengusahakan pelbagai jenis pokok buah-buahan dan tanaman lain," katanya.
Malangnya kini kerajaan Israel mengharamkan mereka dari melakukan sebarang aktiviti pertanian di tanah mereka sendiri.
Alasannya, Israel tidak mahu tanaman tersebut walaupun serendah mana pokok itu bakal membesar akan membolehkan para pejuang Palestin menyelinap atau menyorok di celah-celah pokok tersebut untuk menyerang kedudukan Israel.
"Memang alasan tidak masuk akal tetapi peraturan seperti ini benar-benar menyusahkan para petani Palestin yang menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.
"Ada tanah yang luas tetapi tidak boleh diusahakan sebagai sumber pendapatan. Wajarkah?" kata Rofazlin.
Disebabkan rasa kurang senang untuk berada lebih lama di sempadan Israel itu, lalu anggota rombongan mahu segera kembali ke Bandar Gaza.
Diceduk dari: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120914/re_10/Zon-panas-Beit-Hanoun
No comments:
Post a Comment