Aqsa2Gaza

Aqsa2Gaza

Sunday, August 12, 2012

Misi Tetap Diteruskan - Walaupun Terhalang Ke Gaza

Bagi Pengerusi J/Kuasa Pembelaan Umat Sejagat Ikram Negeri Johor iaitu Dr Faizul Amri bin Adnan, yang juga merangkap 
Pengurus Aqsa Syarif Johor, kegagalan berlepas ke Cairo untuk menyertai misi kemanusiaan Aqsa2Gaza8 yang sepatutnya berlepas dari KLIA semalam, Ahad 12 Ogos 2012 disebabkan situasi tidak selamat di Semenanjung Sinai Mesir, ianya tidak menghalang beliau untuk terus melaksanakan misi menyerahkan bantuan.

Semalam, bersama-sama lebih 40 ahli jawatankuasa dan ahli-ahli Ikram Pontian, Dr Faizul Amri telah menyertai misi menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib balik di sekitar daerah Pontian di Johor. 
Beliau dan rombongan meredah beberapa kampung dan taman serta berjalan merentasi kebun-kebun membawa barangan bantuan berupa makanan asas bagi penduduk yang memerlukan.  Program ini adalah diuruskan oleh Pengerusi Pembangunan Masyarakat Ikram Daerah Pontian iaitu Cikgu Amran bin Rahmat.

Di antara yang diziarahi ialah mereka yang tua, mereka yang cacat, mereka yang menghidap sakit, ibu tunggal, fakir dan miskin. 

"Misi kemanusiaan boleh dijalankan dimana-mana. Kita yang Allah berikan sedikit kelapangan dan rezeki, tidak harus melupakan mereka yang kurang bernasib baik. Allah akan tanya akan rezeki dan kesenangan yang kita miliki. Di dalam rezeki yang kita perolehi ada hak untuk orang yang susah dan kurang bernasib baik. Oleh itu saya melibatkan diri di dalam Pertubuhan Ikram dan di sini banyak peluang beramal walaupun sememang juga sibuk dengan tugasan sebagai seorang pensyarah universiti" Ujar Dr Faizul Amri.

Sejumlah hampir 100 bungkusan dalam bentuk bingkisan "Ikram Prihatin" telah diedarkan di sekitar daerah Pontian dengan dibantu oleh ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi masjid dan orang-orang kampung di sekitar daerah Pontian. Barangan yang diserahkan adalah dalam bentuk beras, minyak masak, tepung, gula, susu, biskut dan lain-lain selain wang tunai yang diserahkan oleh aktivis Ikram. 
Barangan makanan dan wang tunai yang disumbangkan Ikram Pontain kepada mereka yang memerlukan adalah hasil sumbangan ahli-ahli ikram sendiri dan orang ramai kepada tabung khas "Ikram Prihatin" yang dikutip semenjak awal Ramadhan.

Pakej yang serupa sebenarnya diedarkan oleh seluruh aktivis Ikram di bawah program Ikram Prihatin yang diselaradkan oleh Pengerusi Jawatankausa Ikram Pusat.

"Walaupun saya gagal untuk berlepas ke Cairo hari ini, tetapi di Malaysia, kita masih ada tugasan yang perlu dilaksanakan. Misi membantu mereka yang di dalam kesempitan hidup dan dhoif adalah tanggungjawab kita semua dan bagi saya, banyak lagi yang boleh dilakukan di Malaysia seandainya di sana ada halangan untuk kita tidak kesampaian untuk ke Palestin. 
Saya yakin bahawa ada hikmah di atas penutupan pintu Rafah ketika ini, Insya Allah, saya tetap akan ke Palestin untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan apabila pintu Rafah dibuka semula" Ujar Dr Faizul Amri.

No comments:

Post a Comment