Aqsa2Gaza

Aqsa2Gaza

Sunday, December 16, 2012

Mengenali Khalid Mish'al




Baru-baru ini, pada sambutan 25 tahun HAMAS, Khalid Mish'al menjejakkan kakinya ke tanah suci Gaza buat pertama kali. Dalam ucapannya, beliau mengulangi pendirian HAMAS yang akan terus berjihad demi pembebasan Pale
stin. Beliau menyebut dengan penuh keyakinan, bahawa "Hari ini Gaza. Esok, Ramallah dan kemudiannya Jerusalem, Haifa dan Jaffa."

Khalid Mish'al dilahirkan pada 28 May 1956 di Silwad, sebuah kampung di Ramallah. Beliau merupakan Ketua Biro Politik HAMAS. 

Khalid Mish'al membesar di Kuwait bersama keluarganya, dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik di Universiti Kuwait. Beliau mula aktif dengan Ikhwanul Muslimin, dan kemudian HAMAS apabila HAMAS ditubuhkan pada tahun 1987.

Selepas serangan Iraq ke atas Kuwait pada tahun 1990, beliau berpindah ke Jordan. Tetapi pada tahun 1999, beliau dibuang negeri apabila Raja Abdullah menghentikan operasi HAMAS di Jordan. Sejak itu, beliau tinggal di Qatar selama 2 tahun sebelum berpindah ke Syria.

Posisi Khalid Mish'al selaku pemimpin atasan HAMAS yang tinggal di luar Palestin memberikan beliau peluang untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin di serata dunia dan mengutip sumbangan buat perjuangan HAMAS dari pelbagai organisasi antarabangsa. Beliau seringkali mewakili HAMAS dalam persidangan-persidangan dan rundingan-rundingan diplomasi antarabangsa.


Ketrampilan dan pengaruh Khalid Mish'al ini menjadikan beliau sasaran pembunuhan oleh agensi risikan Israel, Mossad. Pada pagi 25 September 1997, dua pembunuh upahan, bersama beberapa agen perisik Mossad mengikuti Khalid Mish'al ke pejabat beliau di Amman. Dalam perjalanan beliau berjalan masuk ke pejabat, beliau diserang dua lelaki ini, yang meletakkan sebuah alat di telinganya. Alat itu menghasilkan bunyi yang sangat kuat, dan Khalid melaporkan ia seolah 'renjatan elektrik'.

Walaubagaimanapun, kedua-dua pembunuh upahan ini tidak menyedari kehadiran pengawal peribadi Khalid, yang masih berada di dalam kereta. Hasilnya, pengawal peribadi Khalid, Abu Sayf keluar melawan mereka dan berjaya menahan mereka. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

Pada awalnya, Khalid kelihatan sihat selepas serangan tersebut, namun kemudian beliau mula jatuh sakit selepas beberapa jam. Alat yang diletakkan dalam telinga Khalid mengandungi racun, yang menyebabkan kandungan oksigen dalam darahnya terus menjunam, biarpun diberi bekalan oksigen secara berterusan. 

Raja Jordan ketika itu, Raja Hussein mendapat berita ini dan segera masuk campur dalam hal ini. Khalid dipindahkan ke Pusat Perubatan Al-Hussein dibawah jagaan beberapa doktor pakar. Raja Hussein menghubungi presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan mendesak beliau agar menyuruh Israel menyerahkan 'antidote' bagi racun tersebut.

Dengan antidote tersebut, keadaan kesihatan Khalid pulih.

Rentetan dari cubaan bunuh ini, dalam siri-siri rundingan antara Raja Hussein dan Israel, Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan dari penjara sebagai tukaran untuk pembebasan agen-agen Israel yang telah cuba membunuh Khalid. 

Cubaan ini bukan sahaja gagal membunuh Khalid, malah telah mencetuskan kekecohan di peringkat antarabangsa. Dalam satu wawancara dengan Third Way Magazine, Khalid mengatakan "Serangan Israel ada dua kesan; ada pihak yang akan berjaya ditakutkan, tetapi pihak lain menjadi lebih berani lagi. Saya termasuk pihak yang kedua."

Pada tahun 2010, Khalid dinobatkan sebagai antara 50 manusia berpengaruh di dunia, di tangga ke-18 oleh majalah New Statesman.

Moga Allah terus menguatkan Khalid Mish'al dalam perjuangannya, dan menganugerahkan beliau antara dua kemuliaan; sama ada menang atau mati syahid. Aameen.

Rujukan:

1. McGeough, Paul (2009) Kill Khalid – The Failed Mossad Assassination of Khalid Mishal and the Rise of Hamas. Quartet Books

2. Tamimi, Azzam London (2007) Hamas: Unwritten Chapters. Hurst & Co.

3. "Khaled Meshal – 50 People Who Matter 2010". New Statesman. 21 September 2010. Dilayari pada 9 Disember 2012.

4. "After Kissing Ground Upon Entry Into Gaza for First Visit Hamas Terror Chief Promises Conquest of Jerusalem, Haifa". The Algemeine7 Disember 2012. Dilayari pada 9 Disember 2012.

5. "Profile of Khaled Meshal." Council on Foreign Relations. 13 Julai 2006. Dilayari pada 9 Disember 2012. 

6. "Mahmud Mahboub hit: Finger points to Mossad; Robert Fox on the parallels between this assassination and the 1997 attempt to kill Khaled Mashal." The First Post. 17 Februari 2010. Dilayari pada 9 Disember 2012. 


No comments:

Post a Comment