Aqsa2Gaza

Aqsa2Gaza

Tuesday, June 12, 2012

Speaker Dewan Parlimen Gaza Meraikan Konvoi Syaddurihal & Sukarelawan A2G4


Salah satu acara misi Syaddurihal-Ilal-Qud's yang disertai satu-satunya NGO Malaysia iaitu Ikram/Aqsa Syarif yang dinamai A2G4 ialah lawatan ke Dewan Parlimen Gaza.  Lawatan ini di adakan di hari kedua rombongan kami berada di Gaza iaitu pada 21 Mei 2012 selepas sahaja kami membuat kunjungan hormat dan diraikan oleh Perdana Menteri Gaza, Dr Ismael Haniyeh.

Kedatangan rombongan kami dengan dua buah bas di perkarangan Dewan Parlimen Gaza itu di sambut dengan barisan ahli-ahli Parlimen Gaza berbaris menghulurkan tangan dan mendakap serta mencium kami. Kami balas dengan ciuman di pipi seorang demi seorang yang terdiri diari kalangan para ulama', pemimpin, imam dan mujahid Palestin. Dengan ucapan selamat dan salam, mereka semua menyambut kami dengan senyuman penuh kegembiraan, seolah-olah setiap kami benar-benar diperlukan kehadiran kami dan terasa sangat dihormati, sedangkan jauh di hati kami, kami hanya ingin menumpang gembira dan membawa salam dari rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan bantuan melalui tabung-tabung Palestin yang diusahakan rakan-rakan aktivis di Malaysia yang gigih.

Di penghujung barisan, Sheikh Dr Ahmad Bahar iaitu Speaker for Palestinian Legislative Council (Speaker Dewan Syura' Palestin) dengan senyuman mesra menghulurkan tangan, memeluk, mengucup pipi kami dan menghadiahkan mafla kepada setiap kami.

Bagi sukarelawan akhawat, terdapat ahli Parlimen dan pegawai-pegawai Dewan parlimen wanita yang menyambut mereka. Juga dengan dakapan mesra dan hadiah mafla Palestin yang menjadi simbol yang unik bagi masyarakat Palestin khususnya di dalam fasa perjuangan yang semakain menyerlah.

Kami semua masuk ke dalam dewan yang cukup sederhana. Kelihatan tempat duduk yang tidak mencukupi dan ruang duduk yang sangat kecil serta dewan yang tidak memiliki kemudahan canggih berbanding mana-mana dewan Parlimen di dunia, namun selesa. Kami memerhati sekeliling sambil menunggu upacara dimulakan. Terfikir kami akan bagaimana kurang selesanya para ahli parlimen yang duduk seharian membincang dan meluluskan rang undang-undang Islam untuk dilaksanakan di negara Gaza atau permulaan kepada negara besar Palestin.  Namun itulah pengorbanan para pemimpin Gaza walaupun dengan segala kesederhanaan. Yang pentingnya keikhlasan dan keberkatan dari Allah SWT yang akan menentukan perjuangan membela rakyat dan membebaskan bumi umat Islam Palestin keseluruhannya akan dipermudahkan Allah swt.

Majlis ringkas di dewan Parlimen ini mempersembahkan beberapa ucapan dari wakil deligasi misi dan juga ucapan yang arif speaker dewan parlimen. Keseluruhannya menjurus kepada memantapkan perjuangan dan kerjasama bagi meneruskan perjuangan membebaskan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa. Wakil-wakil 19 negara Islam yang berganding bahu di dalam misi kali ini sebenarnya membawa makna yang besar di dalam koordinasi perjuangan Palestin yang sedang rancak di negara-negara Islam seluruhnya.

Setelah majlis tamat, kami di bawa ke kemah yang sederhana di perkarangan dewan yang juga kecil. Tetapi layanan mesra dan penuh tradisi sungguh menyentuh perasaan kami. Sepinggan nasi arab dikongsi berdua dengan setin minuman ringan - itulah jamuan rasmi, tetapi sunguh terasa keberkatannya. Speaker Dewan sendiri pergi menemui di meja-meja kami dan membuka serta membantu mengoyak-ngoyakkan daging ayam di pinggan juadah kami untuk memudahkan setiap kami memakannya. Ini merupakan suatu tradisi penghormatan dari tuan rumah untuk tetamunya. Kami bersyukur benar dan terasa dihargai walaupun di hati kecil ini berasa teramat segan dan kerdil di atas layanan yang terlalu tinggi untuk diri yang belumpun berbuat secukupnya untuk Palestin.

Bagi sukarelawan Aqsa Syarif, ini adalah kali kedua penghormatan diberikan kepada kami, dijemput menemui speaker dan ahli-ahli Parlimen Gaza. Di dalam misi Ramadhan A2G2 pada 2011, kami juga dijemput mengadap mereka (Lihat di SINI).

No comments:

Post a Comment